KERANA DIA
Hari ini,
Aku melihatnya dari jauh. Matanya termenung jauh menembusi orang ramai yang lalu lalang di hadapannya. Fikirannya hanya dia sahaja tahu melayang ke mana. Mataku beralih ke arah jemari tangannya yang sedang bergerak. Oh, dapat juga aku meneka apa yang difikirnya. Hati aku tersenyum sendiri.
‘Subahanallah, kagumnya…’ bisik hati kecilku.
Tangannya terus kemas memegang tasbih berwarna putih kejernihan itu, mungkin selari dengan zikir yang membasahi mulutnya. Mungkin. Kenapa mungkin? Kerana itupun anggapan aku jua. Kepalanya terhijab, begitu jua wajahnya yang terhijab kecuali sepasang mata yang berkaca. Melihat kepada matanya….Subahanallah, mungkin tersirat wajah yang indah ciptaan Tuhan.
Dia bangkit dari tempat duduknya. Aku tersedar sendiri dari renungan kepadanya. Ralit juga aku melihat wanita di sebelah katil ayahku.
Sebenarnya, aku kini sedang berada di Hospital Raja Perempuan Zainab II yang terletak di Kota Bharu, menemani ayahku yang telah terlantar di sini sejak dua hari lepas kerana kekurangan air dalam badan ayah ditambah pula lelahnya yang kian teruk sedikit. InsyaAllah, esok ayah dibenarkan keluar. Aku menarik laci pada meja di sebelah katil ayah. Ayah nampaknya nyenyak tidur. Pada laci tersebut, ada mushaf surah Yasin. Pemberian daripada wanita berhijab itu….
……………………………………………………………….
Hari pertama di hospital,
Petang itu aku keluar sebentar dari bilik wad ayah. Ibu menyuruhku berehat dan aku mengambil peluang ini untuk menghirup udara dari luar bilik wad. Kasihan juga melihat ibu, selepas peluang dari sekolah, terus bergegas ke hospital menemani ayah di sini. Ingin sahaja ibu mengambil cuti menjaga ayah namun hajatnya disekat oleh ayah.
“Tidak apalah…biar Saufi sahaja jaga ayah…”
Itulah yang dikatakan oleh ayah kepada ibu. Ibu menurut. Apatah lagi aku kini sedang cuti.
Sedang aku berjalan….
“Tttiingg..”
Ada duit syiling terjatuh pada kasutku. Aku mengambil duit syiling tersebut dan mendongak, mencari tuan empunya duit syiling ini.
‘Mak oiii!’ Terkejut aku dibuatnya. Di hadapanku, berdiri seorang wanita bejubah, berhijab dan berpurdah hitam di hadapanku.
“Errr…maaf, itu duit saya.”
‘Eh, orang Melayu…ingatkan cik Arab mana tadi,’bisikku.
“Errr…maafkan saya…”
“Ouh, nah.Silakan.”
Aku memberi duit syiling itu kepadanya.
“Terima kasih…”
Sungguh, jujur aku katakan yang aku terkejut melihat andai ada wanita yang berpakaian seperti dia. Mungkin jarang yang memakai sebegini di sini. Aku masih melihatnya yang menuju ke arah mesin minuman ringan.
Aku beredar dari situ dan menuju semula ke wad.
Malam itu, aku melihat dua orang jururawat sedang menyiapkan kati di sebelah ayahku.
‘Mungkin ada yang nak masuk kut.’
Setelah beberapa minit, jururawat tersebut datang semula bersama seorang pakcik disorong dengan kerusi roda oleh….
‘Eh, dialah!’ jerit hati.
Wanita berniqab itu sedang menyorong pakcik itu dengan kerusi roda. Aku melihat keadaan pakcik itu. Lemah namun tenang. Lensa mata melihat ke bawah. Terkejut. Aku agak, kakinya telah dipotong. Sebab? Entah.
Dua jam kemudian….
“Ayah nak makan epal tak? Kalau nak Epul boleh potongkan,” tawar aku kepada ayah yang dari tadi membaca majalah Solusi, majalah kegemarannya. Aku hairan dengan ayah. Sejak akhir-akhir ini, ayah semakin berubah. Maksud aku, dahulu ayah lain. Sering balik lewat dan juga lewatkan solat. Ayat-ayat Quran di rumah pula sekadar hiasan semata namun tidak dibaca apatah lagi mushaf Quran yang lama telah menjadi ‘harta simpanan’ di dalam almari bertemankan debu dan habuk.
Namun, apabila pulangnya ayah dan ibu dari tanah suci pada tahun lepas, ayah kian berubah. Berubah ke arah yang lebih baik! Mungkin juga faktor keadaan di sana dan faktor usia.
“Hurmm…tidak apalah. Ayah sekejap lagi nak tidur.”
Aku hanya mengangguk.
“Saiful….Saiful masih muda. Tenaga Saiful masih kuat. Rajinkanlah diri untuk menuntut ilmu dan melaksanakan ibadah. Sudah-sudahlah dengan asyik keluar malam, melepak tanpa tujuan. Duit yang ayah bagi pula, pandai-pandailah nak guna dan berjimat…”
Aku mengangguk tanpa membantah. Aku memang begitu, hanya diam sahaja kalau ayah mahupun ibu memberi nasihat atau menegur aku.
‘Tapi ayah…biasalah anak muda….’ Tapi aku suka menjawab dalam hati.
Sejam kemudian….
Ayah sudah lena tidur. Aku melihat ke arah Blackberry milikku. Ada mesej BBM (Blackberry Messenger) dari kawanku, Adrian.
‘Epul…kitorang sekarang lepak2 kat KLCC. Best! Oppss! Btw, jaga orang tua tu bagus…dapat pahala. Choww!’
‘Cehh! Malas la nak layan korang!’
Aku mulai bosan. Nak tidur tapi tidak mengantuk pula. Sedang aku ingin mencapai iPod player aku, kelihatan wanita berpurdah itu duduk dalam keadaan tertunduk.
Tiba-tiba, secara tidak sengaja, aku menegurnya.
“Assalamu’alaikum…”
‘Eh, apasal aku tegur dia ni?!’ aku menyoal diri sendiri.
Wanita itu menoleh ke arahku.
“Wa’alaikumussalam…”
Walau sesaat cuma, aku sempat menangkap matanya. Fuhhh…
Dia menunggu aku untuk berkata-kata.
“Ya, kenapa?”
“Awak ke tadi…err..duit syiling jatuh….kasut….”
‘Apasal dengan ayat aku ni? Berbelit!’
“Ouh, petang tadi ke? Ye, memang saya. Maaf, saya cepat sangat pergi. Terima kasih ya tadi.”
“Eh, sama-sama. Kutip duit syiling je pun. Hehe…”
Dia hanya diam sahaja tanpa menjawab apa pun. Aku langsung tidak dapat meneka rekasi wajahnya sekarang. Cuma dari pengamatan aku, aku boleh menghidu ketenangan yang ada pada dirinya.
“Ayah ke tu?” soalku.
“Ouh, ini pakcik saya.”
“Eh, anak dia?”
“Errr…dia tiada anak.”
“Oooo…kenapa dengan pakcik?”
“Kencing manis pakcik tinggi, dan kaki kirinya perlu dipotong. Kata doktor, kaki ini perlu dipotong kerana kakinya itu sudah ‘mati’. Bahaya jika dibiarkan takut merebak pula.”
“Ooo…begitu. Awak seorang saje ke temankan dia? Keluarga awak?”
“Papa dan mama sekarang berada di luar negara atas urusan kerja.”
“Adik-beradik?”
“Saya…anak tunggal.”
“Ooo…hurrmm. Boleh saya tanya?”
“Silakan…”
“Kenapa pakai purdah? Tak panas ke? I mean, tudung tu biasalah. Ramai je pakai. Tapi siap pakai purdah ni, tak sesak nafas ke?”
Aku tidak tahu, adakah soalanku ini terlalu jujur.
“Hurrmm…saya pakai kerana Allah.”
“Errkk..ok ok. I get it about that but what for? Ni bukan Arab Saudi ke, Mesir ke…”
“Sebab bumi ini milik Allah. Jadi saya rasa biarlah apa yang saya nak pakai biarlah kerana Allah. Tak kira saya di Arab Saudi ke, Mesir ke…”
Aduss! Kena balik kat batang hidung aku. Petah juga dia ni menjawab!
“Ok, but you know, don’t you feel awkward when people see you different as you wearing like this?”
Hah! Aku speaking. Nak tengok dia boleh jawab ke tak. Namun, jujur, aku terperasan juga sudah beberapa orang yang lalu lintas melihat pelik ke arahnya. Kasihan juga aku melihat padanya.
“Well…I do feel like that but it is just temporary. The important is the faith or iman that I hold firmly to God and I hope that, insyaAllah, it becomes permanent till my last breath. Even people will look at me differently, it’s just their judgmental and it really doesn’t bother me. What’s keep spinning in my mind is, will Allah accept my deeds to Him? What He will judge me in Hereafter?”
“So, you will ignore people’s sights?”
“I can’t ignore 100 percent from their thoughts. If there any people who will advise me, I will listen to them. I have to respect their opinions but in return, they must respect me too.”
“Okay okay..but why do you still want to wear this purdah. I know it is because of Allah. But is there any reason why?”
“Okay..I…”
Belum sempat dia menghabiskan ayatnya, aku memotong. “Okay, kita cakap Malay. Hehe..”
“Baiklah. Cuma saya tadi mengikut gaya awak sahaja.”
“Ouh, kalau bahasa Jepun, awak akan cakap bahasa tu pula ke?”
“Awak pandai ke?”
“Errr okay, okay sambung balik ayat awak.”
Takut juga dibuatnya dia betul-betul bertutur dalam bahasa Jepun. Nampak gayanya wanita di hadapanku ini bukan calang-calang orangnya.
“Hurrmm. Sebenarnya, berpurdah ini atas pilihan masing-masing. Yang penting adalah menutup aurat selari dengan syariat Allah. Namun bagi saya, pilihan untuk memakai niqab ini bukan senang. Lebih-lebih lagi berada dalam suasana begini seperti yang awak katakan tadi. Di sini, bukan Arab Saudi dan bukannya Mesir. Tapi, jika dibiarkan keadaan menjadi faktor, ianya boleh menghalang niat saya.
Bagaimana saya boleh tertarik untuk memakai purdah? Dahulu, saya pernah menziarahi sepupu yang belajar di Mesir. Kebetulan papa dan mama ingin bercuti ke situ. Di sana, ramai juga yang memakai purdah. Tidak kiralah, yang mengambil bahagian pengajian agama mahupun medik. Suka saya melihat mereka memakai purdah. Kecantikan mereka disembunyikan dan tidak dipamerkan. Maksud saya, kecantikan luar biasa!”
“Ouh…jadi kepada yang tidak memakai purdah, bagaimana pula? Kecantikan mereka tak terpelihara lah?”
“Ouh…bukan begitu maksud saya. Sudah saya katakan, itu pilihan mereka.”
“Pilihan untuk mendedahkan kecantikan?”
“Cantik atau tidak…tundukkanlah pandangan. Kaum hawa telah menjalankan amanah mereka untuk menutup aurat, menutup apa yang perlu perlu ditutup, dan kaum adam ambil jugalah bahagian untuk menjaga pandangan. Maksud saya, sama-sama menjaga aurat, dan sama-sama menjaga pandangan.”
“Okay, saya terima kenyataan awak itu. Jadi awak pakai purdah kerana nak sorok kecantikan awak? Jadi awak ni lawa lah?”
“Ya Allah wa astaghfirullah…saya akui ciptaan Allah itu semua cantik namun sebab itu bukan menjadi keutamaan bagi saya.”
“Jadi apa keutamaan awak sekarang? Maaf, saya masih bingung!”
“Saya benar-benar minta maaf. Saya tiada sebab lain sebenarnya…”
Aku terkejut! Jadi dari tadi aku dan dia bercakap hanya….no point? Rugi sahaja!
“Saya ingin bertanya kepada awak. Itu ayah awak ke?”
“Ya, ayah saya. Kenapa?”
“Kenapa awak jaga dia? Sampai sanggup bermalam di hospital untuk jaga dia?”
“Kerana dia sakitlah!” Suaraku agak keras sedikit. Mungkin tertekan sedikit dengan jawabannya sebentar tadi.
“Jadi….andai ayah awak sihat, awak tak jaga dialah?”
Aku terdiam.
“Apa maksud awak?” soalku.
“Mungkin ya, memang benar jawapan awak. Namun jawapan yang tepat dan benar ialah, kita menjaga orang tua kita kerana Allah.”
“Haahh?? Saya…tak faham…”
“Saudara, maaflah sekali lagi. Saya ingin beri contoh, andai kita menyukai seseorang itu kerana suara dan sekiranya orang itu menjadi bisu, sudah tiada sebab kita untuk suka padanya. Andai sebab mata yang cantik dan sekiranya ditakdirkan buta sudah tiada sebab untuk suka. Samalah dengan sebab yang saudara berikan. Ketika ini, saudara akan menjaga ayah saudara kerana ayah saudara sakit namun setelah dia sihat, sudah tiada sebab saudara untuk menjaganya. Pernahkah saudara bertanya pada ayah saudara, mengapa dia sayangkan saudara macam manapun keadaan saudara, baik mahupun tidak? Kerana sayang mereka tidak bersebab. Kerana kasih sayang yang dihadiahkan Tuhan, membuat mereka kasih kepada saudara walau siapa pun saudara.”
“Jadi…?”
“Begitulah juga diri saya. Andai saya memakai purdah semata-mata menyorokkan wajah saya, dan ditakdirkan muka saya sudah hancur, na’uzubillah,…maka tiada gunanya saya memakai purdah. Tiada sebab dan pegangan lagi pada diri saya.
Maaf..saya hanya ingin saudara faham kenapa saya memakai purdah kerana Allah dan menyembunyikan kecantikan bukan keutamaan saya. Sedang kita bersebabkan Allah Ta’ala, tiada lagi tujuan kita melainkan mendapat keredhaan Allah dan rahmatNya. Jalan kita teratur dalam menuju bertemu Ilahi, insyaAllah…”
Aku terdiam.
“Maaf, saya ingin ke tandas.”
Aku mengangguk dan sesaat aku terlihat matanya berkaca. Aku menundukkan pandanganku….
‘Aku telah membuatnya menangis…?’
Keesokannya,
“Ayah nak ambil wudhu’ sekejap ye. Sayang pula kalau tak dirikan solat sunat Dhuha.”
“Ayah nak saya temankan?”
“Hurmm…walaupun sunat, tapi ayah nak kamu solat bersama ayah!”
Aku terdiam dan menurut sahaja. Sedang aku melintasi katil pakcik wanita itu, aku sempat melihatnya. Dia sedang tertunduk juga. Aku hairan, kenapa dia selalu menundukkan wajahnya.
‘Tasbih? Tasbih kat tangan dia…?’ Kelihatan tasbih putih kejernihan pada tangannya.
Petang itu, ibu datang menziarahi ayah. Seperti biasa aku keluar berjalan-jalan.
“Saudara…”
Aku teringat panggilannya untukku semalam.
‘Oh ya! Aku belum tahu lagi namanya.’
Ketika ingin mendekati peti mesin minuman, aku ternampak wanita itu sedang duduk di bangku. Tangan kanannya memegang satu tin minuman dan tangan kirinya memegang tasbih.
‘Tasbih lagi?’
Setelah membeli minuman di mesin tersebut, aku melihat ke kiri dan ke kanan. Entah aku tidak tahu mengapa, kakiku laju melangkah ke arah wanita itu. Lalu aku duduk. Dia berada di hujung bangku dan aku pula di hujung sebelah satu lagu. Ada ruang di antara kami.
“Saya…nak minta maaf pasal semalam. Saya tak sengaja nak buat awak menangis.”
“Eh? Saya menangis? Awak nampak?”
“Ya...saya..saya minta maaf!”
“Awak tak buat salah pun pada saya. Saya kena faham, awak sedang mencari jawapan dan saya pula perlu berusaha untuk beri dan fahamkan jawapan saya kat awak.”
“Tapi kenapa awak menangis?”
“Saya takut…takut dengan diri sendiri. Saya takut saya menipu diri saya dengan gunakan ‘kerana Allah’ untuk memakai purdah.”
“Kenapa?”
“Ikhlas ini rahsia Allah. Dan saya takut dengan penilaian Allah terhadap saya. Saya takut yang saya tak ikhlas. Jawapan saya semalam sebenarnya memukul hati saya. Walaupun saya berpurdah, saya masih insan biasa… Tapi, apa-apa pun, saya serahkan kepada Allah…”
Aku menganggukkan kepalaku.
“Awak. Saya nak pinjam ‘something’ boleh?” pintaku.
“Pinjam?
“Semalam saya nampak awak baca Yasin. Terkejut juga. Ingatkan pakcik awak errr….tapi saya dulu teringat juga ustazah saya ada pesan, surah-surah dalam al-Quran banyak manfaat dan fadhilatnya, jadi tak salah kan baca Yasin…kalau awak bagi pinjam la.”
“Boleh je. Nanti saya bagi. Maaf, saya pergi masuk dulu. Assalamu’alaikum.”
“Wa’alaikumussalam…”
Aku melihatnya beredar pergi.
‘Alamak! Lupa juga nak tanya nama dia…’
…………………………………………………………….
Lima bulan lalu,
Aku berlegar-legar di Balai Islam Lundang. Ada ceramah motivasi kerohanian di situ. Aku turut serta kerana aku yakin ceramah sebegini dapat memulihkan rohani serta iman yang naik dan turun ini. Iya…sejak aku kenali wanita berpurdah itu, aku mula mendalami ilmu-ilmu agama. InsyaAllah, semoga kerana-Nya. Memang ia bukan bidang aku sebagai pelajar kejuruteraan di universiti namun ianya bidang yang perlu aku cari sebagai seorang Muslim dan juga hambaNya di bumi Tuhan ini.
Alhamdulillah, ayah pula sudah pulih dari hari itu walaupun kadang-kadang lelahnya datang balik. Pada hari ayah dibenarkan pulang ke rumah, wanita itu tiada di situ begitu juga pakciknya. Dengarnya, ayah dan ibu wanita itu menyuruh mereka berpindah ke hospital swasta. Mungkin faktor keselesaan. Dan ketika itu juga aku sibuk sedikit dan perlu mengambil ibu dari sekolah tempat dia mengajar kerana kereta kancilnya telah rosak.
‘Tapi…masih belum tahu namanya…’
Dari jauh, aku ternampak sebuah kotak lutsinar di atas meja bahagian pengurusan ceramah tersebut. Tertera di situ,
‘Derma Prihatin Palestin’
Aku mendekati kotak itu lalu mengeluarkan dompet saku coklatku. Tidak semena-mena, terjatuh duit syiling ke atas kasutku. Aku tertunduk dan ingin mengutip syiling itu.
‘Eh, duit aku ke?’ bisikku.
‘Maaf encik, syiling saya terjatuh kat atas kasut encik.’
Seperti ‘Déjà vu’ kejadian ini. Seperti pernah berlaku!
Aku mendongak, melihat ke arah suara itu. Terkejut….di hadapanku seorang wanita berpurdah di hadapanku.
Kami sama-sama terdiam….
“Awak??” Serentak kami berkata.
…………………THE END………………
Wallahu'alam....wassalam. :)
No comments:
Post a Comment